Tuesday, March 5, 2013

Wanita UMNO buat laporan polis berkenaan Tian Chua (PKR)

          

5th March, 2013SANDAKAN: Wanita Umno Sabah membuat laporan polis terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang didakwa menuduh insiden pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno.
Laporan polis berkenaan dibuat oleh Ketuanya Datuk Armani Haji Mahiruddin yang juga Ketua Wanita Umno Libaran, di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bersama-sama ahli jawatankuasanya, di sini kelmarin.
Armani menegaskan bahawa Umno tidak akan membiarkan maruah anggota keselamatan dan kedaulatan Negara dicabul oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kita amat marah dan terkilan dengan tuduhan bahawa ini semua adalah sandiwara Umno.
Wanita Umno ingatkan Tian Chua, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Ini melibatkan nyawa rakyat dan ketenteraan awam, Umno mahupun BN bukan seperti mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan peribadi,” tegas beliau.
Armani yang juga Exco Wanita Umno Malaysia berkata Tian Chua sewajarnya mengambil sikap bertanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dan pemimpin.
“Atas dasar tanggungjawab bersama, beliau tidak perlu keruhkan keadaan sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap insiden ini.
“Jangan politikkan isu ini untuk memenuhi impian mereka,” katanya sambil menasihatkan agar Tian Chua menarik balik tuduhan itu dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan keluarga mangsa.
Beliau menambah, semua pihak harus memberi sokongan dan sepenuh kepercayaan kepada anggota keselamatan.
“Perdana Menteri telah menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sekarang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita harus percaya tugas mereka dan tidak menimbulkan situasi yang lebih mencemaskan,” katanya.

sumber : http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/66466

No comments:

Post a Comment